Saya masih ingat
analoginya, “lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita
masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya.
Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita
jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”
Dia
menyambung, “maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita
harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita
banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan
belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita
dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna?
Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani.
Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah,
Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat.”
Benarlah,
seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus
belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin
kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui.
Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap
mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan,
tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.
Walau
sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya
masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru,
sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang,
dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda
orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri
sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia
hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!
Bergaullah
dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan
kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan.
Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya,
semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya
dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini
semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan
kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih
kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti.
Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu
mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi
hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk
tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa
Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma
dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari
hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya,
ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang
paling utama mereka mewarisi ‘hati’ para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya
begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan
guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan
diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang
diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis… Bukan sahaja di
dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’
pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti
manusia serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai
murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya
lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu
berperanan sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para
ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan
memandai-mandai.
Sesungguhnya,
ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin
tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi
yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam
kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang
selebriti.
Guru yang mengajar
kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki
motosikal… tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di
situ ada senyuman!
0 komentar :
Posting Komentar